Yang membuka pintu hati ini kepada cinta, adalah seorang lelaki bernama Rosdi. Saya senang memanggilnya Pakcik Rosdi. Rosdi bin Baharom nama penuhnya. Dia banyak mengajar saya akan cinta. Banyak menunjukkan kepada saya cinta. Banyak mendidik saya akan kebenaran dan kepalsuan yang ada di dalamnya.
Cinta itu tidak terlimit hanya dengan hubungan lelaki perempuan. Tetapi turut mencakupi hubungan manusia dengan Tuhan. Cinta itu bukan perasaan liar tanpa kawalan, tetapi di dalam Cinta wujud peraturan.
Saya rasa gembira dengan Cinta.
Saya senang dengannya.
Sebab itu saya sangat menyayangi Cinta.
Dan menjaganya.
Cinta yang saya tahu
Apakah cinta?
Cinta yang saya tahu, adalah “Ingin bersamanya di syurga.”
Saya hanya tahu yang itu. Sebab di dalam Cinta ada kasih dan sayang. Bukankah amat menghairankan jika saya menyatakan: “Saya sangat sayangkan awak, kasihkan awak, sepenuh hati saya.” kemudian saya menyepaknya ke dalam api yang marak. Nyata itu bukan Cinta.
Maka, mahu tidak mahu, apabila disebut Cinta, kita inginkan dia bahagia. Kita inginkan orang yang kita cintai itu senang. Kita inginkan dia tidak sakit. Kita tidak mahu dia cedera. Maka kita patut persoalkan diri kita, apakah bahagia yang tertinggi? Apakah kesenangan yang hakiki?
Bukankah hanya syurga?
Maka adalah sangat pelik, apabila melafazkan cinta, tetapi kita melempar orang yang kita cinta ke dalam neraka. Apakah kesakitan yang lebih dasyat daripada neraka?
Maka Cinta yang saya tahu, hanya itu. “Ingin bersamanya di syurga.”
Sekiranya perasaan itu melempar ke neraka, maka itu bukan namanya cinta.
Itu cinta yang saya tahu.
Daripada cinta ini
Daripada kefahaman cinta yang tadi, maka saya belajar untuk mempertingkatkan diri.
Yalah. Bila faham bahawa kalau cinta itu hendak bersama di syurga, maka mempertingkatkan diri adalah perkara yang teramat penting. Bagaimana hendak ke syurga dalam keadaan diri masih lalai dan alpa? Bagaimana hendak ke syurga dalam keadaan diri masih ada rasa cinta kepada maksiat dan kemungkaran?
Maka mempertingkatkan diri menjadi perkara wajib, dan kerana cinta tadi, kita perlu sentiasa memerhatikan peningkatan diri dan merancangnya.
Kita perlu menjadi orang yang kuat untuk menarik orang yang kita cinta itu ke syurga. Kita perlu menjadi orang yang kuat, untuk tidak menyusahkan orang yang kita cinta itu dalam menarik kita ke syurga.
Kalau benar-benar cinta, maka kita tidak akan melepaskannya ke neraka. Kalau benar-benar cinta, maka kita tidak akan menyusahkannya dengan menceburkan diri kita ke dalam neraka.
Kedua-duanya memerlukan kita mempertingkatkan diri.
Dan inilah dia cinta yang hakiki.
Inilah dia sayang yang sebenarnya.
Saya, ingin bercinta begitu.
Saya ingin menyayangi orang-orang yang saya sayang begitu.
Saya hanya faham cinta yang ini
Saya hanya memahami cinta yang ini.
Kalau saya menyebut cinta, saya hanya memaksudkan yang ini.
Maka dengan cinta ini saya tidak jemu. Saya akan terus mencintai orang yang saya cinta. Maka dengan cinta ini saya tidak penat. Saya akan terus mencintai orang yang saya cinta. Maka dengan cinta ini saya tidak letih. Saya akan terus mencintai orang yang saya cinta.
Walaupun cinta saya dipandang sebelah mata. Walaupun kadangkala dipandang merimaskan. Walaupun adakalanya dipandang jelek dan kelihatan hanya omongan.
Bila hendak memanifestasikan “Hendak bersama dengannya di syurga”, maka hendak tidak hendak, saya perlu membina cinta ini di atas “Tuan Punya Syurga”, yakni Allah SWT. Cinta saya mesti berpaksikan Dia, mengharapkan balasanNya, mengharapkan redhaNya.
Sebab itu cinta ini akan terus saya jalankan. Tanpa peduli apa penerimaan daripada orang yang saya cinta. Tanpa kisah apa jenis balasan yang diberikan oleh mereka.
Sebab bila saya kata bahawa definisi cinta adalah “Hendak bersama dengannya di syurga”, maka secara automatik saya sudah niatkan bahawa cinta saya adalah keranaNya.
Dialah yang membalas penat lelah saya. Dialah hakim kepada cinta saya. Dialah yang akan memberi ganjaran. Sebab itu di dalam cinta ini, walaupun wujud mehnah dan tribulasi, tetap kesenangan dan kebahagiaan juga yang menghampiri. Sebab semuanya bergantung kepada Allah SWT, dan berpaksikan perintahNya. Tiada kekecewaan kerana Allah itu tidak pernah mengecewakan.
Tugas saya adalah mencintai dengan kecintaan ini.
Cinta ini tidak pernah mengecewakan.
Dan saya tidak faham akan cinta melainkan cinta yang sebegini.
Sebab itu cinta ini menyenangkan
Sebab itu cinta ini menyenangkan.
Tiada kenegatifan. Yang ada hanya positif. Jika diganggu pancaroba, penawar sentiasa ada. Jika rasa kecewa, kejelasan niat sentiasa menyelamatkan jiwa.
Cinta ini melapangkan. Cinta ini memberikan kekuatan. Cinta ini memberikan kesedaran. Cinta ini melahirkan sayang, dan sayang di dalam cinta ini tak akan malap. Cinta ini menjamin diri ke syurga.
Sebab itu cinta ini menyenangkan.
Saya hanya faham cinta dengan kefahaman ini.
Selain yang boleh memberikan ini, itu bukan cinta pada tafsiran saya. Sebab itu, ‘cinta palsu-cinta palsu’ lain, tidak diiktiraf sebagai cinta oleh saya. Apa-apa yang melanggar syara’, menjemput murka Allah, dan melempar diri ke neraka, itu bukan cinta pada saya.
Melempar seseorang ke dalam api dan itu dinamakan sayang? Saya tidak pernah mendengarnya.
Cinta ini banyak mengubah saya
Belajar bercinta banyak mengubah saya.
Ketiadaan cinta membuatkan hati menjadi keras, dan diri sukar untuk tunduk. Ketiadaan cinta membuatkan jiwa sepi, dan diri sukar merasakan ketenangan.
Tetapi bila bercinta, hati jadi lembut, jiwa jadi lapang. Sentiasa rasa ingin tersenyum. Sentiasa rasa ingin mengasihini yang lain. Sentiasa rasa ingin menjadi yang lebih baik. Sentiasa cuba melakukan yang terbaik. Sentiasa berusaha memaafkan. Sentiasa berusaha untuk menebus kesalahan.
Semuanya untuk diredhai Allah, agar mendapat syurgaNya.
Semuanya untuk dikasihi Allah, agar mendapat kekuatan untuk menguatkan orang selain diri kita.
Semuanya untuk menyempurnakan misi “Ingin bersamanya di syurga.”
Ingin bersama Ibu Bapa di Syurga. Ingin bersama isteri dan anak-anak di Syurga. Ingin bersama sahabat-sahabat di syurga. Ingin bersama guru-guru di Syurga. Ingin dapat bertemu Rasulullah dan para sahabat radhiallahu’anhum ajma’in di Syurga. Ingin dapat bersama Allah di sana.
Bukankah menyedihkan, hidup selama-lamanya tanpa itu semua? Bahkan dalam derita?
Memahami cinta ini, membuatkan saya berusaha menggerakkan diri.
Semoga saya benar-benar dapat memanifestasikan cinta ini, di dalam kehidupan.
Amiin.
Oleh Hilal Asyraf
No comments:
Post a Comment