Photobucket

cute followers

Friday, September 16, 2011

Nikah Awal Cegah Maksiat !




Setiap saat, setiap waktu, setiap hari, setiap detik, para remaja di "bomb" dari segenap penjuru dengan pelbagai bentuk godaan yang boleh merangsang mereka agar tunduk kepada nafsu. Biasalah bila dah baligh, umur pun sudah meningkat, tanpa godaan pun keinginan tersebut akan timbul juga secara automatik. Apatah lagi sekiranya terdapat banyak godaan daripada suasana sekeliling. Maka secara logiknya, pasti keinginan seksual tu boleh teransang berlipat kali ganda malah, kadang kala ia turut berlaku pada belia yang baru menginjak ke usia remaja lagi.

Berita baru-baru ni mendedahkan kes remaja berumur 14 tahun secara senyap-senyap menjadikan hubungan seks sebagai hobi, dan ibu bapa remaja terbabit tidak tahu menahu langsung akan hal tersebut. Perkara ini mungkin mengejutkan masyarakat yang membacanya tetapi sebenarnya perkara sebegini sudah banyak terjadi dalam masyarakat kita. Ini kerana semuanya tidak mustahil apabila terdapat godaan dan rangsangan yang terlalu banyak di media massa dan elektronik. Maka inilah akibatnya apabila segala-galanya tidak dibendung dan segala perkara yang haram dihalalkan. Penyebab utama yang menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral para remaja Islam.



Bayangkan jika sekarang ini sudah bermacam-macam perkara buruk terjadi terhadap generasi muda ini bagaimana pula nasib generasi muda pada masa akan datang? Berkemungkinan besar moral anak-anak muda akan lebih hancur, masyarakat menjadi punah ranah, dan negara akan jatuh kerana penuh dengan belia yang sudah rosak akhlaknya.

Maka apakah diantara jalan yang terbaik utk selesaikan masalah ini? Adakah jalan utk selamatkan spiritual remaja-remaja ini?

Setelah dirujuk pelbagai risalah dan buku-buku Islamik, yang membahaskan isu-isu semasa, dan cara-cara terbaik utk menyelamatkan masyarakat dan anak-anak muda, kebanyakkannya mencadangkan nikah awal sebagai satu cara untuk menghindarkan remaja daripada berterusan melakukan maksiat. Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin kita seharusnya menggalakkan anak-anak muda supaya kahwin awal disamping menyediakan jalan untuk mereka agar dapat bernikah dengan sah tanpa syarat-syarat yang membebankan.

Islam amat menggalakkan anak-anak muda berkahwin awal. Kerana Islam melihat jiwa remaja pasti akan terancam lebih2 lagi dengan pelbagai godaan yg datang. Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T ada berfirman:

"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu....Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka.." (24:32)

Memang benar Islam mengajar kita untuk berpuasa dan menahan nafsu, menjaga pandangan dan sebagainya, tetapi harus diingat, bukan mudah untuk mengawal keinginan nafsu, lebih-lebih lagi nafsu remaja. Oleh itu, perkahwinan adalah jalan terbaik untuk mereka agar menghindarkan diri mereka daripada nafsu.

Namun perkahwinan bukanlah perkara yang mudah. Ibu bapa sudah tentu menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pendidikan, seterusnya memiliki kerjaya yang stabil dan sebagainya. Sudah tentu ibu bapa berfikir bahawa sekiranya mereka membenarkan anak-anak mereka bernikah awal sudah tentu jumlah wang yang terpaksa dikeluarkan tidak terkira banyaknya. Untuk perkahwinan sahaja mungkin akan mencecah tiga puluh ribu ringgit itu belum termasuk kewangan untuk menyara kehidupan mereka selepas berkahwin. Maka disebabkan hal-hal ini ramai yang beranggapan bahawa kahwin awal itu seolah-olah membebankan dan menyusahkan.

Namun, sebagai ibu bapa relakah anda melihat anak-anak remaja anda menghampiri maksiat dan seterusnya terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak diingini? Nauzubillah.. Bukankah lebih baik sekiranya anda mempermudahkan anak-anak anda untuk bernikah seandainya mereka dan pasangan mereka sudah terlalu sayang akan satu sama lain? Mungkin perbuatan tidak semudah kata-kata tetapi kita perlu teliti semua aspek dan kesan-kesan yang bakal anak-anak anda hadapi seandainya dibiarkan berterusan bercinta tanpa sebarang ikatan.

Maka, di sini ada disenaraikan beberapa cara untuk membantu anak-anak muda zaman sekarang kahwin awal , yg pertama:



1."Sokongan kewangan" daripada ibu bapa yang berkemampuan.

Ibu bapa yg berkemampuan digalakkan supaya memberi sokongan kewangan kepada para remaja-remaja ini agar mereka dapat berkahwin awal dan bantu mereka menyelesaikan apa-apa yang patut. Islam menggalakkan kita untuk menolong manusia lain yang berada dalam kesusahan sebagai contohnya membantu orang-orang miskin dan orang sakit, oleh itu, sudah tentu sekiranya kita membantu anak sendiri membina masjid iaitu mendirikan rumah tangga ganjarannya pasti lebih besar bukan?

2. Sokongan Masyarakat.

Masyarakat sewajarnya mewujudkan sebuah organisasi yang menyediakan dana untuk menolong anak-anak remaja ini berkahwin awal. Mengikut sejarah, pernah sekali, seorang lelaki ditangkap dan dibawa menghadap Sayyidina Ali atas perlakuan yg tidak sopan. Selepas Ali menjalankan hukuman yg sepatutnya, beliau mengahwinkan pemuda ini dengan menggunakan kewangan negara.

3. Nikah Gantung.

Iaitu si teruna dan dara tersebut bernikah untuk menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita. Majlis perkahwinan tersebut ditangguh selepas satu ketika dimana pasangan tersebut telah mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Kebiasaannya mereka akan tinggal berasingan untuk memfokuskan diri terhadap pelajaran dan sebagainya. Tetapi mereka ini dihalalkan untuk berjumpa dan berpegangan tangan, berdating dan sebagainya ini kerana hubungan antara mereka telahpun halal jika mengikut syarak. Oleh itu andainya mereka bercinta sakan umpama sepasang kekasih yang selalu kita lihat berpeleseran di shopping-shopping complex sekalipun mereka tidak akan mendapat dosa kerana mereka tidak melakukan maksiat.  Malah, seandainya mereka mengambil keputusan untuk tinggal bersama dan melakukan hubungan suami isteri juga tidak salah malah di galakkan didalam Islam.

4.  Bernikah seperti biasa tetapi..

Cara yang terakhir adalah pasangan remaja ini bernikah dan mengadakan majlis perkahwinan seperti biasa namun, bijak merancang kekeluargaan agar tidak menimang cahaya mata sehingga mempunyai pekerjaan yang tetap dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Ya,begitulah antara kaedah-kaedah yang boleh anda lakukan untuk menggalakkan perkahwinan antara remaja agar dapat mengelak fitnah dan maksiat. Namun, perlu diingatkan ibu bapa perlulah bersikap terbuka sekiranya anak mereka menyatakan hasrat untuk berkahwin walaupun dikala usia masih muda. Selaku ibu bapa anda juga perlu menasihatkan anak bahawa mereka perlu serius dan komited sekiranya benar-benar ingin berkahwin. Ini kerana perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah. Onak duri kehidupan itu pasti akan lebih terasa selepas berada di dalam alam perkahwinan. Sabar, tabah dan keimanan yang tinggi perlu di terapkan dalam jiwa agar perkahwinan yang dibina itu tidak berakhir dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Selepas berkahwin, pasangan perlulah membimbing antara satu sama lain agar dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T.

Apabila kita memahami perspektif Islam yang menggalakkan perkahwinan awal, maka insya-Allah kita akan bersikap lebih terbuka untuk membenarkan remaja-remaja ini berkahwin awal. Andainya ada antara mereka yang belum sempurna pendidikan agamanya, adalah baik seandainya ibu bapa mendidik mereka dengan ilmu agama samada sebelum dan selepas berkahwin. Usahlah anda menghalang para remaja yang ingin mendirikan rumah tangga seandainya mereka masih belajar di Universiti atau Kolej. Yakinlah, dengan bantuan Allah sudah tentu mereka masih boleh menamatkan pengajian masing-masing walaupun bernikah ketika masih belajar.

Bukanlah, niat saya hendak memaksa para ibu bapa mengahwinkan anak-anak anda diwaktu usia muda. Namun, ini adalah antara jalan terbaik yang diajarkan oleh Islam itu sendiri. Terpulang pada anda untuk menentukan yang mana yang lebih baik untuk anak-anak anda kerana sudah tentu anda lebih mengenali mereka. Cuma, seandainya anda mendapati anak remaja anda sudah terlalu sayang dan cintakan kekasihnya bukankah lebih baik untuk menghalalkan hubungan tersebut?

Sumber : iluvislam.com

Sunday, September 4, 2011

Kelebihan Serta Hikmah Puasa Enam


Bahang sambutan ‘Idilfitri masih terasa. Dalam usaha meningkatkan amalan berterusan selepas Ramadhan, umat Islam sangat dianjurkan untuk terus berpuasa pada Syawal tetapi cuma enam hari sahaja, yang dikenali sebagai puasa enam.
Bagi mereka yang ingin memulakan puasa enam pada 2 Syawal secara berterusan, hari itu adalah ‘Hari Raya’ kedua bagi mereka, namun bagi yang belum memulakannya, masih belum terlewat melaksanakan amalan sunat itu selagi kita masih lagi berada di dalam bulan Syawal.
Hikmah atau rahsia puasa enam hari pada bulan Syawal adalah untuk mendidik kesabaran insan, sekali gus tidak menjadikan Hari Raya sebagai tempoh untuk membalas dendam iaitu dengan mengambil pelbagai makanan lazat yang terhidang sepuas-puasnya selepas sebulan berpuasa.
Ia juga akan memberi kesempatan kepada tubuh badan kita untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga. Justeru diutamakan puasa enam bermula pada 2 Syawal.
Namun begitu, puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada mana-mana hari sepanjang bulan Syawal samada secara berterusan atau pun berselang seli. Namun, afdhalnya ialah pada Hari Raya Kedua dan dilakukan pula secara berterusan sehingga hariraya ketujuh.
Kelebihan orang yang melakukan ibadat ini diterangkan dalam sebuah hadith daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Hadith Riwayat Muslim)
Hadith itu menjelaskan jika kita berpuasa pada Ramadhan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun.
Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardhu.
Barangkali ada kemungkinan amalan puasa kita pada Ramadhan berkurangan atau pun cacat sedikit, maka puasa enam Syawal adalah sebagai penampal terhadap kekurangan atau kecacatan itu. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, maka puasa enam memberi peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat. Ia juga dapat mengelakkan budaya atau sikap suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga Ramadhan hampir menjelang pada tahun akan datang.
Pelbagai ganjaran dan kelebihan yang diperoleh umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakan puasa enam pada Syawal ini. Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW, bersabda yang bermaksud: “Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa selama setahun penuh.” – (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Siapa berpuasa Ramadhan, lantas disambung dengan enam hari pada Syawal, maka dia bagaikan berpuasa selama setahun.” – (Hadith riwayat Al-Bazzar).
Pahala puasa Ramadhan yang dilanjutkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda, seperti disentuh dalam hadith.
Membiasakan puasa selepas Ramadhan memiliki banyak manfaat, di antaranya:
Puasa enam hari pada bulan Syawal adalah pelengkap dan penyempurnaan pahala daripada puasa setahun penuh;

Puasa Syawal dan Sya’aban bagaikan solat sunat rawatib, dan berfungsi sebagai penyempurnaan daripada sebarang kekurangan. Perkara ini kerana pada hari qiamat, perbuatan fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunat.
Seperti keterangan Rasulullah SAW dalam beberapa riwayat, majoriti puasa fardhu yang dilakukan Muslimin memiliki kekurangan dan ketidaksempurnaan dan keadaan ini memerlukan sesuatu bagi menutup dan menyempurnakannya.
Membiasakan puasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan.

Segala amalan yang dikerjakan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada Ramadhan tidak akan terputus dengan berlalunya bulan Ramadhan yang mulia ini, selama dia masih hidup.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...