cute followers

Wednesday, June 8, 2011

Walau hanya berstokin, namun aku tetap bersyukur !

Aku diberikan didikan agama yang secukupnya oleh ibu bapaku. Apabila umurku mencecah 13 tahun, aku mula hidup berdikari di sekolah berasrama penuh dan di sana, kami semua pelajar perempuan diwajibkan berstokin sepanjang masa. Aku sebagai seorang pelajar yang mengikut peraturan memang sentiasa memakai stokin di sekolah.
Tetapi apabila pulang ke rumah, melayanglah stokinku entah ke mana. Apabila umurku 16 tahun, aku berpindah sekolah kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR. Sekolah baruku turut mengarahkan kami memakai stokin sepanjang masa dan bagi ku, itu bukan satu masalah. Tetapi, amalan berstokin di rumah tetap tidak aku lakukan. Mungkin bagiku berstokin tidaklah sama penting dengan bertudung.
Sehinggalah aku mendapat tawaran ke salah satu kolej matrikulasi di utara Malaysia. Selepas mendaftar dan mengemas barang-barang di dalam bilik, kawanku mengajakku bersiar-siar di kawasan kolej. Aku mula terfikir, adakah aku perlu berstokin walhal tiada peraturan menyuruh kami memakai stokin di kolej tersebut.
Aku mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan kerana aku sedar bahawa apa sahaja keputusan yang akan aku ambil pada saat itu, akan aku teruskan hingga ke liang lahad. Sehinggalah kawanku memanggil namaku, aku dengan lajunya mencapai stokinku dan memakainya dan terus keluar dari bilik. Sejak dari itu, stokin tidak pernah lari dari kakiku.
Bila ku imbas kembali hari pertamaku di kolej matrikulasi, aku rasa gembira kerana memilih untuk berstokin. Bagi aku, Allah telah turunkan hidayah-Nya kepadaku pada hari tersebut dan aku sangat bersyukur.
Selama 5 tahun aku memakai stokin, hanya tahun ke-6 baru aku berstokin seikhlas hatiku.
Walaupun hanya stokin, bagiku ini adalah anugerah Allah untukku. Terima kasih ya Allah untuk hidayah kecil ini.
Pesanan untuk saudaraku wanita di luar sana, janganlah putus asa untuk mengamalkan apa yang Allah suruh. Sesungguhnya hidayah Allah akan turun jua kepadamu dalam keadaan yang tidak dapat kamu bayangkan.
Teruskan berdoa dan teruskan beramal, semoga Allah akan mengurniakan hidayah-Nya supaya kita sentiasa berada di jalan-Nya yang lurus. InsyaAllah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...