Photobucket

cute followers

Friday, February 17, 2012

Perkara Bidaah Dalam Perkahwinan Melayu

Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama. Allah s.w.t berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, 24: 21)
Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)
Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)
Manakala tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad s.a.w. Di mana di dalam sebuah hadith Nabi disebutkan:
Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 1097)
Begitu juga di dalam beberapa hadith yang lain, kita turut diperingatkan. Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)
Dengan lebih tepat, “Bid’ah adalah sebuah cara baru di dalam agama yang dibuat menyerupai seakan-akan syariat dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Imam asy-Syatibi, di dalam al-I’tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)
Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak disyariatkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar di dalam walimatul urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas bertentangan dan mengajak kepada perbuatan bid’ah. Sekiranya kita menganggap dan berkeyakinan bahawa sesebuah ritual atau sesuuatu amalan yang pada asalnya tidak disyariatkan ke dalam sesebuah majlis walimah, dan sekiranya amalan tersebut tidak diadakan di dalam majlis walimah tersebut, kita mengatakan bahawa walimah tersebut tidak lagi lengkap, tidak lagi sempurna, kelihatan janggal, atau tidak berseri atau seumpamanya, maka sebenarnya kita telah menuju kepada perbuatan bid’ah. Iaitu menuju kepada perbuatan yang sebenarnya tidak pernah ditetapkan oleh syari’at, tetapi kita telah memandai-mandai sendiri menetapkannya. Ini adalah kerana, walimah adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh Allah melalui NabiNya s.a.w. Apatah lagi sekiranya, perkara yang ditambah itu adalah merupakan perbuatan-perbuatan yang mungkar dan membawa kepada larangan yang berat di sisi Allah.
Perbahasan di dalam bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas mungkin dan padat dan kesinambungan dari Entri pertama: 10 Kemungkaran dan Bidaah Dalam Majlis Kahwin Melayu (Klik Kalau Belum baca):
11. Bersalaman Dengan Bukan Mahram
Di dalam sebuah hadith dijelaskan bahawa: “Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (al-Albani, Silsilah Hadith ash-Shahihah, no: 225)
Dan para ulama juga menetapkan serta menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah menyentuh wanita yang tidak halal baginya walau pun di dalam peristiwa bai’ah. Berkenaan perkara ini juga, telah jelas di dalam Al-Qur’an bahawa Allah s.w.t memerintahkan supaya kaum lelaki dan wanita yang beriman supaya tunduk dari memandang kaum berlainan jantina mereka, maka apatah lagi jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan, sedangkan perbuatan pandang memandang sahaja pun sudah ditegah.
12. Sesi Nanyian-nyanyian, Muzik dan Kugiran
Nabi s.a.w bersabda: “Akan muncul dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras), dan alat-alat muzik…” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5590)
Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Mas’oud r.a menjelaskan dengan tegas bahawa muzik dan nyanyian adalah termasuk perkara yang tidak berguna. Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan persoalan muzik dan nyanyi-nyanyian ini, dipersilakan merujuk kitab karya Imam Ibnul Qayyim, bertajuk Ighaatsatul Lahfan atau Syaikh al-Albani, bertajuk Tahriim Alath ath-Tharb, dan kitab syaikh al-Albani ini telah ada terjemahannya.
13. Permainan Kuda Kepang
Permainan kuda kepang adalah merupakan amalan yang bermula dari masyarakat kaum Jawa. Ia kini agak popular di beberapa kawasan seperti di di Johor dan Selangor.
Ada pun sebenarnya, sebahagian amalan yang dilakukan di dalam permainan kuda kepang ini adalah perbuatan yang boleh membawa kepada syirik. Ini adalah disebabkan di dalamnya mengandungi perbuatan berhubungan atau berunding (mengadakan perjanjian) dengan jin dan syaitan, selain pemujaan menggunakan ayam jantan dan asap kemenyan.
Imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah berkata: “Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah dengan meminta dipenuhi keperluan-keperluannya, dipenuhi kemahuannya, atau menerima berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya. Sedangkan cara jin mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan pengagungan manusia terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan permohonan keselamatan, serta ketundukan manusia kepadanya.” (Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 98, Pustaka at-Tibyan)
Allah s.w.t berfirman: “Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah al-Jin, 72: 6)
Selain itu, permainan kuda kepang ini di dalamnya juga disertai dengan pelbagai bunyi-bunyian tertentu yang menjurus kepada muzik terlarang.
14. Bomoh Tolak Hujan
Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun. Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan supaya tempat diadakan majlis walimah sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar.
Sedangkan Allah s.w.t berfirman: “Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri…” (Surah al-An’am, 6: 59)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadith Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)
Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya: “Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal (bomoh), demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (Imam ath-Thahawi, Aqidah ath-Thahawiyah. Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 90, Pustaka at-Tibyan)
Berkenaan turunnya hujan, banyak hadith-hadith Rasulullah s.a.w menyarankan kita supaya bersyukur di atas sebab turunnya hujan. Ini adalah sebagaimana di dalam doa yang dicontohkan oleh Nabi s.a.w: “Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman, dan binatang).” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1032)
Dan penjelasan Rasulullah sendiri sebagaimana berikut: “Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1038)
Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.
Dari Anas r.a, beliau menjelaskan doa tersebut sebagaimana berikut:
اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1013)
Allah s.w.t berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)
Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan bomoh, pawang, atau pun dukun yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki kelebihan ilmu ghaib tertentu ini, Rasulullah s.a.w telah menjelaskan kepada kita melalui sabdanya: “Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.” (Hadith Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)
15. Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar
Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika aku bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, pendapatan (periuk nasi) aku adalah dari hasil kerja tanganku dan kerjaku adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas berkata, “Aku sekadar memberi tahu apa yang aku dengar dari Rasulullah. Aku mendengar beliau bersabda, “Sesiapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya untuk menghidupkannya”. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, aku nasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”.” (Hadith Riwayat Muslim, no. 2110)
Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Secara ringkasnya:
Dilarang melukis, menggantung, dan membuat gambar berupa makhluk bernyawa seperti manusia atau haiwan, atau apa sahaja yang menunjukkan ia sebagai makhluk bernyawa.
Dibolehkan melukis atau membuat gambar selain makhluk bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, air terjun, bangunan dan kenderaan.
Pengambilan gambar hanya diizinkan untuk perkara yang benar-benar mendesak lagi memerlukan seperti untuk tujuan passport.
Tidak dibenarkan untuk mengambil gambar bagi tujuan kenang-kenangan sebagaimana yang difatwakan oleh Syaikh Ibnu Bazz.
16. Upacara Memotong Kek Perkahwinan
Perbuatan ini juga bukan berasal dari syariat Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.
18. Berbelanja Besar Untuk Set Pakaian
Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan berlebih-lebihan.
Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak menghormati adat.
Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang memberat-beratkan umatnya.
Allah s.w.t berfirman:
Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, 7: 31)
Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular dilakukan (dipraktikkan) di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis perkahwinan mereka. Ada beberapa lagi amalan/perkara yang sebenarnya dapat kita kategorikan sebagai perbuatan yang mungkar, bid’ah dan melanggar syari’at Islam yang kebiasaannya berlaku (dilakukan) ke dalam walimatul urus cuma tidak disentuh di sini seperti adat menepung tawar, dan perlakuan ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram). Dengan itu, hendaklah kita berhati-hati dengan perkara-perkara seperti ini dan sentiasa berusaha dengan sedaya upaya menjauhinya. Walau bagaimana pun perkara-perkara mungkar seperti disebutkan berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan menandingi apa yang telah disyariatkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad s.a.w. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.
Allah s.w.t berfirman: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)
Dan suatu yang paling penting di dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil dari perkataan Allah s.w.t dan petunjuk Rasulullah s.a.w.
Allah s.w.t berfirman:
Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am, 6: 115-116)
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)
Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui KitabNya dan RasulNya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaanNya dan hindarilah dari kemurkaan-Nya. Wallahu a’lam…

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...