Photobucket

cute followers

Wednesday, December 21, 2011

Memilih Calon: Antara Gedik Dan Realistik?

“Faiz nak cari calon yang macam mana?” Saya bertanya sambil menghirup kopi yang masih panas. Tika suasana sejuk begini, setiap hirupan dirasakan cukup nikmat. Tambahan pula berbicara isu-isu tentang Baitul Muslim yang memerlukan fokus yang tinggi.
"Faiz sebenarnya taklah memilih sangat, tapi abang Hisham tengoklah senarai ini, mudah-mudahan ada yang punya ciri sepertinya. Kalau tidak semua pun, saya amat berharap 2/3 darinya dapat dipenuhi, kerana saya ingin melahirkan generasi yang bakal menyambung perjuangan Solahuddin." Ujar Faiz dengan bersemangat sambil menghulurkan sekeping kertas berlipat kepada saya.
"Wah! Serius sungguh nampaknya!" Ujar saya, tetapi hanya di dalam hati.
Saya menyambut kertas yang dihulurkan dan kemudian membukanya perlahan-lahan. Berkerut-kerut dahi saya membacanya.
1. Berkulit putih.
2. Punya lesung pipit.
3. Bertudung labuh
4. Berkaca mata
5. Berasal dari Kelantan, kalau boleh dari jajahan Kota Bharu atau Pasir Mas sahaja (mak saya minta supaya menantunya boleh makan budu).
6. Berketurunan Melayu.
7. Muda dua tahun dari saya.
8. Pandai memasak.
9. Lemah lembut.
10. Punya sifat keibuan yang tinggi.
11. Pandai mengambil hati orang tua.
12. Menghafaz sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran.
13. Komited dalam dakwah.
14. Rajin bertahajjud.
15. Tidak lebih tinggi dari saya. Tinggi saya 1.63 cm sahaja.
16. Bertubuh sederhana, tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk.
17. Aktif bersukan.
18. Ramah-tamah.
19. Pandai memandu kereta.
20. Jangan anak sulung atau bongsu.
21. Sanggup untuk berhari raya pertama di kampung saya di Pengkalan Chepa.
22. Tidak ada sakit yang kronik, terutamanya sakit kulit.
23. Boleh juga bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.
24. Subur, kerana saya mahukan sekurang-kurangnya enam orang anak dalam keluarga seperti Dr. Z.
Saya membaca senarai itu dengan mata yang berpinar-pinar, terasa seperti mahu tersembur air kopi yang sedang dihirup. Subhanallah, di mana harus saya cari bidadari seperti ini untuk menjadi pasangan hidupnya.
Sedaya upaya saya cuba mengawal diri, menahan tawa dan mengelakkan dari raut wajah saya berubah untuk tidak mengecilkan hatinya. Perasaan terasa bercampur-baur antara lucu dan kasihan. Sungguh 'hebat' fantasi anak muda 'dakwah' ini dalam menentukan kriteria pemilihan pasangannya.
Saya menghabiskan kopi yang panas sebelum memulakan bicara. Ada sesuatu yang harus saya katakan padanya. Namun perlu berhalus agar tidak mengusik hatinya. Dalam berdepan isu begini, kadang-kadang ikhwah mudah terasa hati.
"Akhi, anta sekarang dah hafaz berapa juzuk?" Saya menukar sedikit topik perbualan.
"Errr...baru hafaz juz 30 dan 29, itupun masih ada yang tak berapa lancar." Jelasnya jujur sambil tersengih menampakkan susunan giginya yang tidak sama.
"Macamana dengan kriteria yang saya bagi tu Abang Hisham, agak-agak ada tak akhawat yang seperti itu?" Tanya Faiz. Namun sekali lagi saya tidak menjawab soalannya dan bertanya lagi.
"Akhi, malam tadi anta solat tahajjud dan khatam 1 juzu' bacaan al-Quran tak?"
"Tak pula, letih sangat, malam tadi habis mesyuarat lambat sangat. Insya-Allah malam ni kami ada program Qiam bersama mad'u junior. Insya-Allah malam ni kami akan Qiam."
Saya mendengar jawapannya dengan bersahaja, kemudian bertanya lagi.
"Akhi, semalam berapa kali anta solat berjemaah di masjid?"
"Kenapa abang Hisham tanya soalan-soalan ni? Bukankah kita sedang berbincang tentang Baitul Muslim? Apa kena mengenanya?" Balas Faiz dengan wajah yang sedikit berubah dan suara yang agak sedikit keras walaupun masih cuba dikawalnya.
Jika kulitnya putih mungkin telah berubah menjadi kemerah-merahan tanda tidak puas hati. Tetapi kulit sawo matang melayu Kelantan yang diwarisi menyebabkan hanya kerutan yang kelihatan sedikit di dahi.
Saya hanya tersenyum.
"Beginilah Faiz, apa yang Faiz tulis dalam kertas tu bagus, cuma ia terlalu bagus. Abang Hisham yakin, dalam zaman sekarang ini, sepuluh bahkan seratus tahun mencari pun belum tentu Faiz akan berjumpa dengan calon seperti yang diinginkan jika semua kriteria tersebut harus dipenuhi."
"Tidak ada eh?" balas Faiz penuh persoalan. Keningnya diangkat sedikit.
"Kalaupun ada, mungkin dia dah kahwin dengan juara Imam Muda musim kedua agaknya. Hahaa"Saya menjawab sambil ketawa kecil. Cuba menceriakan suasana. Dia juga kelihatan tersenyum.
"Abang Hisham tanya soalan-soalan tadi supaya Faiz tahu yang Faiz pun tak sempurna mana, jadi dalam mencari calon isteri ni, tak perlulah terlalu memilih itu dan ini, sebab kita pun bukan setaraf Imam Ghazali, dengan peserta Imam Muda yang terkeluar pada pusingan pertama pun belum tentu." Jelas saya dengan bersahaja sambil merenung tepat ke wajahnya dan memberikan senyuman yang manis.
"Habis tu, bagaimana Abang Hisham?" Tanya Faiz, wajahnya kelihatan penuh ingin tahu.
"Beginilah, ...."
"Abang Hisham akan cuba tanyakan pada isteri, kalau-kalau ada calon yang sesuai. Insya-Allah, kami akan cari calon yang terbaik untuk Faiz, tapi bukan yang sempurna. Kami akan cuba tengok kalau-kalau kriteria tersebut boleh dipenuhi, tapi untuk memenuhi 1/3 darinya pun hampir mustahil."
"Anta kena ingat akhi, walaupun berada dalam sistem tarbiah dan usrah, tetapi akhawat itu tetap manusia dan tetap seorang wanita." Saya menjelaskan.
"Ada yang rupanya cantik, tapi pengamalan agamanya mungkin agak kurang."
"Ada pula yang rupanya agak sederhana dan hafazannya cuma satu juz sahaja tapi komitmen dakwahnya baik.
"Lemah-lembutnya mungkinlah tidak selembut Asyiela Putri pelakon Upin Ipin tu, tapi tidaklah pula sekeras dan se 'brutal' Kak Ros. Haha" saya menjelaskan lagi sambil tertawa. Kemudian saya menyambung bicara.
"Tentang memasak, usah dirisaukan, asalkan dia punya keinginan untuk belajar, Insya-Allah beres semuanya. Kalau nak cari yang makan budu, orang Kelantan pun tak ramai yang makan budu. Isteri ana orang Pahang, tapi hantu budu juga. Dulu ana tak makan tempoyak, tapi lepas kahwin dengan orang Pahang, ana jadi hantu tempoyak."
"Kemudian, tentang kesihatan, orang perempuan ni, ada masa dia sihat dan ada juga masa dia akan sakit, terutamanya bila mengandung."
"Tentang menghormati orang tua dan sifat-sifat mahmudah yang lain, perkara itu boleh ditarbiah dan sebahagian dari tanggungjawab suami setelah berkahwin adalah untuk membimbing isterinya dengan sifat-sifat mulia, bukan mengharapkan cinta dari bidadari syurga yang serba sempurna."Panjang saya 'mengomel'.
"Tak mengapa Faiz, nanti abang Hisham akan carikan calon yang terbaik untuk Faiz dan semestinya kriteria yang akan abang Hisham cari adalah yang paling baik agamanya."
"Banyakkanlah berdoa agar kita dipertemukan dengan jodoh yang terbaik, bukan yang tercantik dan bukan yang sempurna segalanya dan lupa juga meminta agar Allah memudahkan segala urusan untuk membina masjid ini. Ok, Faiz?" Saya menepuk bahunya dengan mesra. Anak muda sepertinya banyak perlukan bimbingan. Bukan leteran yang akan menghancurkan perasaan.
Perbualan di atas mungkin hanya rekaan, tetapi ia adalah hasil dari pengalaman saya dan rakan-rakan dalam mengendalikan urusan Baitul Muslim para pemuda-pemudi dalam dan luar negara selama beberapa tahun.
Ia kisah benar yang saya rangkumkan dalam satu perbualan. Mungkin agak ideal, tetapi itu sebahagian dari realiti ikhwah ketika mencari calon pasangan.
Dalam urusan memilih calon, harus diingat bahawa kita memilih calon di kalangan manusia, bukan Malaikat atau bidadari syurga.
Apabila pasangan itu namanya manusia, maka akan wujudlah kekurangan di sana dan di sini. Cuma satu pesanan yang ingin saya titipkan buat anak muda, pilihlah calon yang baik pengamalan dan penghayatan agamanya, Insya-Allah, rumahtangga akan dipenuhi dengan kasih sayang dan keberkatan dari Allah S.W.T.
Boleh sahaja kita memilih calon yang senegeri, yang sedap dipandang mata, punya sifat keibuan yang tinggi, pandai memasak dan sebagainya, tetapi harus diingat, bahawa kriteria pertama yang harus dilihat adalah bagaimana penghayatan agamanya, dan sejauh mana dia mengiltizamkan diri untuk membaiki diri menjadi manusia yang lebih baik.
Jika penghayatan agamanya baik, maka berlapang dadalah sedikit jika calonnya dari negeri seberang atau selang dua buah negeri atau mungkin rupanya tidak secantik dan secomel Mia Sara.
Tidak ada perkara yang tidak boleh dirunding dengan ibu bapa. Mereka hanya mahu yang terbaik untuk kita, rundinglah dengan baik dan penuh hikmah, Insya-Allah, jalan keluarnya pasti ada jika kita ikhlas ingin membina rumahtangga. Tidak ada ibu bapa yang inginkan kesengsaraan anak-anaknya.
Tentang kecantikan pula, jika calon yang dipilih adalah kerana kecantikan wajahnya, maka ketahuilah bahawa selepas berkahwin, wajah yang cantik akan menjadi biasa selepas hari-hari dipandang mata dan syaitan akan menghias wanita-wanita lain yang bukan mahram agar kelihatan lebih cantik di pandangan mata kita.
Akhirnya, yang kekal hanyalah akhlak dan pekerti yang mulia, juga keazaman untuk melahirkan dan membangunkan anak-anak singa pewaris Imaduddin, Nuruddin Zinki dan Solahuddin Al Ayyubi.
Usah terlalu gedik dalam memilih calon, tetapi biarlah realistik.
Akhir sekali, apa yang paling penting adalah bermesyuaratlah dengan ibu bapa dan orang-orang baik yang dipercayai dan berpengalaman.
Jangan lupa untuk beristikharah selepasnya agar segala keputusan mendapat panduan dari langit yang tertinggi. Insya-Allah.
share : i luv islam

Cinta Itu Nikmat Tapi Awas !

Cinta itu suci. Namun kita sebagai remaja yang baru setahun jagung terjebak ke kancah percintaan yang memberi nikmat seketika tetapi ibarat duri dalam daging yang akhirnya memakan diri sendiri.
Ya, memang benar cinta itu buta, tetapi hakikatnya kita yang buta dan tuli mengenal apa itu erti cinta. Natijahnya kini, cinta yang dicanang sebagai sesuatu yang suci dinodai dengan titik-titk hitam kemungkaran dan kerendahan maruah segelintir kita yang bersifat bodoh sombong mendefinisikan cinta sebagai sebuah ikatan yang menghalalkan yang haram.
Siapa yang harus dipersalahkan?
Tepuk dada tanya Iman.
Sudah terang lagi bersuluh, lebih separuh daripada kita pernah terjerat dengan kenikmatan cinta itu sendiri. Tidak kiralah yang terpaksa, yang rela atau suka-suka.
Tanya diri kita sendiri, adakah kita menghormati cinta suci itu atau perasaan cinta yang menjalar dalam segenap inci tubuh badan kita ini menjadikan lesen untuk kita merendahkan maruah kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada agama yang suci.
Remaja kini sudah tidak segan silu lagi melakukan perkara sumbang di hadapan khalayak ramai, dipaparkan dan dijadikan sorotan setiap hari.
Ternyata maruah kita seperti diperkotak-katikkan dengan kerakusan nafsu yang menjadi tuan dan raja sehingga kita diibaratkan seperti mengikut kehendak sendiri.
Keghairahan kita mengejar nikmat cinta sebenarnya menongkah arus tujuan kita diberi nikmat untuk menjadi dewasa. Matangnya kita bukan bererti kita matang untuk mengawal nafsu yang semakin beraja memerintah akal fikiran yang waras.
Buktinya, ramai antara kita yang semaki terdedah dengan gejala-gejala sosial. Maruah hilang entah ke mana, malu sudah tidak bertandang, takut kepada-Nya jauh sekali. Yang perempuan menggoda, yang lelaki tergoda.
Lemah sungguh kita sebagai manusia yang menjadi ciptaan Allah S.W.T yang paling mulia. Lebih parah pula apabila lelaki bersikap habis madu sepah dibuang. Yang perempuan pula bersikap pendek akal dengan cubaan membunuh diri. Padahal sikap mereka yang sebenarnya yang mendorong mereka menghancurkan hidup mereka sendiri.
Hakikatnya kini, bercinta itu sudah menjadi satu "trend" dalam kehidupan kita. Kita lebih cenderung mengelaskan mereka yang kononnya yang tidak bercinta atau 'couple' itu kolot, ketinggalan zaman atau mungkin juga tidak laku. Hal ini menyebabkan kita berasa malu dan mula ketagih untuk bercinta.
Realitinya, mereka yang berjaya mempertahankan perasaan mereka daripada dinodai 'cinta monyet' merupakan mereka yang teguh pendirian dan berhati mulia kerana tidak bertindak untuk dinodai cinta suci itu.
Apakah kita tidak malu berpeleseran dengan pasangan kita?
Ditayang-tayang, ditunjuk-tunjuk ibarat 'show case' lagaknya. Kononnya mereka sahaja yang mempunyai pasangan. Padahal, tindakan kita ini ibarat meletakkan muka dipunggung sendiri. Maruah pula jatuh tergolek-golek.
Siapa yang suka apabila 24 jam asyik muka kita sahaja yang berkepit seperti suami isteri ke sana ke sini tanpa segan silu?
Hakikatnya, perasaan malu, mual, menyampah seperti menunjah-nunjah melihat perlakuan mereka yang sudah dibutakan dan ditulikan oleh nikmat cinta. Ibu bapa pula seperti sudah tidak mampu melarang keghairahan anak mereka daripada terus hanyut dalam dunia mereka sendiri.
Yang peliknya, ibu bapa buat-buat pejam mata sahaja apabila anak-anak mereka pergi dan balik menaiki satu kenderaan yang sama dengan lelaki-lelaki yang entah siapa-siapa.
Perbuatan kita ini bukan sahaja menodai cinta itu sendiri tetapi juga menconteng arang ke muka kedua-dua ibu bapa kita. Usah mencipta kenikmatan seketika, kelak bias meruntuhkan maruah sendiri.
Allah S.W.T telah menentukan jodoh kita sejak lahir lagi. Tidak perlulah kita berfikiran kolot dengan mengejar 'cinta monyet' yang bakal mengundang seribu satu masalah dan kedukaan yang tiada akhirnya. Tiada manusia yang mati andai cinta itu tidak hadir dalam hati.
Jika kita memang benar-benar ingin merasai nikmat cinta palsu itu, letakkanlah nafsu dan Iman kita di atas neraca timbang. Pastinya nafsu lebih berat daripada Iman kita.
Mahukah kita menggadaikan maruah kita yang tidak ternilai harganya ini hanya untuk menikmati perasaan ghairah bercinta yang bertindak hanya seketika?
Yang menanggungnya pastilah perempuan. Seronok dan nikmat sama dirasai, kenapa derita dipikul sendiri?
Lelaki juga harus bertanggungjawab kerana 'bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi'. Sebenarnya dua-dua bersalah, kenapa yang harus menanggung malu perempuan seorang. Jadilah anak jantan sejati 'berani buat, berani tanggung' bukannya mahu buat selepas itu lari tidak cukup tanah. Buat apa jadi lelaki kalau hanya sekadar lempar batu sembunyi tangan, lebih baik jadi lelaki lembut tetapi bertanggungjawab. Ini semua gara-gara cinta.
Cinta itu menghayalkan. Cinta itu membuat kita alpa tentang segalanya. Lupa dunia, lupa Akhirat. Begitulah cinta itu. Kadang-kadang cinta itu sesuatu yang nikmat tetapi awas. Disebabkan cinta, kita sebagai manusia hilang maruah diri dan pengangan agama entah ke mana. Yang menanggungnya kita. Bukan oang lain.
Tidak salah bercinta andai kita mampu mengawal nafsu serakah daripada menjadi tuan dan juga tidak berkelakuan jelek di hadapan orang ramai. Bagi mereka yang belum merasa nikmat cinta itu, berbanggalah kerana anda mempunyai harga diri yang tinggi. Jaga diri jangan terlalu dibuai perasaan hingga tergadai maruah.

Sunday, December 18, 2011

Belajar Dengan Syaitan ?

Aku adalah seorang yang suka membaca, setiap kali ada masa lapang aku pasti membaca buku. Setiap bulan aku akan membeli sekurang-kurangnya sebuah buku, untuk dibaca. Hidup ku dengan membaca dan buku sudah tidak dapat dipisahkan. Sehari tidak membaca buku, aku akan merasa kekurangan. Apatah lagi dalam masa semingggu.
Sedang aku menumpukan perhatian, membaca apa yang tertulis pada muka surat buku tersebut. Tiba-tiba Faiz yang duduk disebelahku bersuara.
"Belajar tu, jangan asyik baca buku saja, bertanyalah juga dengan guru!"
"Kalau belajar tanpa guru, nanti belajar dengan syaitan!" Tambah Amar yang duduk dibelakang ku.
Aku sudah biasa mendengar orang menegurku sebegitu. Ini bukan kali yang pertama. Entah buat kali yang ke berapa, aku sudah lupa, kerana aku sendiri tidak menghitungnya.
"Ya, jangan risau. Bukankah selama ini kita belajar bersama-sama di dalam kelas ni?" Aku menjawab teguran Faiz dan Amar.
Aku bukanlah menafikan kata-kata mereka berdua secara seratus peratus. Apa yang mereka ucapkan itu ada benarnya juga. Belajar itu sememangnya perlu berguru. Sangat mustahil bagi seseorang itu mempelajari sesuatu ilmu, tetapi tanpa berguru. Selama ini pun, aku belajar agama bukannya secara sendiri, melainkan aku berguru. Tapi, tidak perlulah aku sibuk untuk menghebohkan atau menyebutkan satu persatu nama guru-guruku kepada mereka. Kebanyakan manusia sememangnya suka bercakap mengikut suka hatinya tanpa berfikir panjang.
Hari ini segelintir orang yang berpandangan sempit, telah membataskan pengertian belajar. Bagi mereka belajar yang sebenarnya hanyalah belajar dihadapan guru sahaja. Apabila mereka melihat seseorang yang asyik membaca buku, mereka akan berkata kepadanya "Barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!".
Aku merasa tidak keterlaluan, sekiranya aku beranggapan, orang yang berkata begitu sebenarnya, adalah orang yang diserang penyakit malas. Malas membaca, menelaah dan mengkaji. Kata-kata 'barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!' tidak lain hanyalah slogan kosong untuk dijadikan alasan bagi sikap mereka yang malas membaca. Mereka lupa bahawa para ulama dahulu adalah orang yang kuat membaca kitab, beribu dan berjilid-jilid kitab mereka telaah. Adakah semua kitab itu mereka baca daripada lembaran ke lembaran didepan gurunya? Jawapannya sudah tentu tidak.
Namun begitu, walaupun suka membaca, jangan pula kita lupa untuk belajar secara berhadapan dengan guru agama yang diiktiraf keilmuaannya, berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah di atas fahaman Salafus Soleh. Kita perlu bijaksana dalam mengimbanginya. Itulah peganganku dalam menuntut ilmu.
"Kalau belajar tanpa guru adalah belajar dengan syaitan, maksudnya kalau kita belajar dengan guru, kita belajar dengan malaikat? Begitukah?" Aku menyoal Faiz dan Amar dengan nada berjenaka. Secara logiknya, sekiranya kita terbalikkan kata-kata Amar tadi, maka begitulah maknanya.
Faiz dan Amar terkejut dengan kenyataanku. Mungkin tersedar bahawa, kata-kata mereka tadi ada silapnya.
"Sebenarnya kata-kata "barang siapa belajar tanpa guru, maka dia belajar dengan syaitan" itu daripada mana datangnya?" Sebelum mereka sempat menjawab soalan yang ku ajukan tadi, soalan seterusnya menyusul. "Adakah ianya hadis Rasulullah s.a.w atau pun kata-kata manusia yang tidak terpelihara?"
"Entah, aku pun tak tahu!" kata Amar selamba. "Tapi banyak orang cakap macam tu aku dengar!"
Amar cuba mengukuhkan kata-katanya dengan menjadikan kata-kata orang ramai sebagai sokongan. Faiz pula hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
"Yalah, memang banyak orang cakap macam tu. Aku pun pernah dengar juga. Tapi, itu tidak menjadi petanda apa yang orang cakapkan itu adalah benar!" Aku membantah kata-kata Amar. Raut wajahnya mula berubah, dia memang pantang dibantah.
"Pada pandangan aku kita perlu nilai semula kata-kata itu." Aku menutup buku ditanganku, lalu memasukkannya ke dalam meja. Amar dan Faiz saling berpandangan antara satu sama lain.
"Belajar dengan guru tidaklah menjamin, bahawa setiap apa yang dipelajari oleh seseorang itu pasti benar seratus peratus. Ini kerana, guru tempat kita belajar itu bukanlah nabi atau rasul yang maksum, terpelihara daripada silap dan salah! Mereka juga manusia biasa, mereka boleh tersilap dan tersalah. Begitu juga dengan kita."
"Bila kita lihat secara realitinya, ada di antara manusia itu, walaupun dia belajar secara berguru, tapi dia tetap termasuk ke dalam golongan orang yang tersesat. Ini kerana, guru tempat dia belajar itu rupanya adalah orang yang sesat!" Aku menambah lagi.
Sedang aku, Faiz dan Amar bertukar fikiran, rakan-rakan yang berada disekeliling kami mula menghampiri. Rakan-rakanku memang pantang melihat perbincangan agama, pasti mereka ingin turut serta, sama ada dengan menyumbangkan pandangan atau mendengar dengan penuh perhatian.
"Betul juga tu! Aku setuju!" Faizal menyampuk.
Amar mengerling Faizal, raut wajahnya menunjukkan dia tidak berpuas hati. Faizal cuba membalas pandangan Amar dengan senyuman yang tidak bersalah.
"Yalah. Betul juga kau cakap tu!" Akhirnya Amar mengalah. Dia tidak dapat menafikan kebenaran kata-kataku. "Memang belajar dengan guru itu tidak menjamin apa yang kita pelajari benar seratus-peratus. Tapi kita perlu faham, kalau kita belajar dengan guru, bukankah lebih bermanfaat. Malah langkah pembelajaran kita pun akan menjadi lebih mudah. Mungkin ada penjelasan yang tidak dinyatakan di dalam buku, tapi guru kita mengetahuinya!"
Aku diam seketika. Berfikir.
"Ya, aku setuju. Memang tidak boleh dinafikan belajar dengan guru itu mempunyai manfaat dan kelebihannya yang tersendiri, yang ianya tidak ada pada orang yang belajar dengan asyik membaca buku."
"Cuma yang aku tidak setuju, bila kau kata "barang siapa belajar tanpa guru, maka dia belajar dengan syaitan", sebab kata-kata kau tadi tu seolah-olah menghalang orang daripada membaca dan mengkaji daripada buku-buku, dan hanya mencukupkan diri dengan belajar secara berdepan dengan guru." Setelah menjelaskan persamaan pandangan antara aku dengan Amar, aku pun menjelaskan titik perbezaan pandangan antara kami.
"Ulama dahulu pun belajar berguru juga, tapi pada masa yang sama mereka tidak meminggirkan pembacaan daripada kitab-kitab. Para ulama dahulu terdiri daripada pencinta buku. Mereka membaca beribu-ribu jilid kitab dan risalah. Perkara ini kita boleh lihat dalam kitab, Kaifa Tatahammas li Thalibil 'Ilmisy Syar'i karya Syaikh Abul Qa'qa Muhammad bin Shaleh, yang telah diterjemahkan dalam bahasa melayu dengan tajuk Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu."
"Apa yang penting sebenarnya, kita seimbangkan. Kita belajar dengan guru, kita juga membaca buku. Apabila tidak faham kita berbincanglah dengan guru, atau sesama penuntut ilmu."

Faiz dan Amar hanya senyum mendengar kata-kataku. Rakan-rakan yang lain bergegas kembali ke tempat masing-masing, kerana kelihatan Ustaz Amri yang akan mengajar kami subjek Usul Feqh sebentar lagi, sudah pun berada diluar kelas. Sejurus selepas itu Ustaz Amri pun masuk ke kelas, dan sesi pembelajaran bagi subjek Usul Feqh pun bermula.
"Barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!"
Ada segelintir orang menyangka bahawa kata-kata ini adalah hadis Rasulullah s.a.w, tetapi hakikatnya kata-kata sebegini tidak pernah diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w secara shahih.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...